mutakhir

MPKK mula larangan jual minuman keras di kawasan majoriti Islam

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) akan melaksanakan larangan menjual minuman keras di semua kedai serbaneka di kawasan kependudukan majoriti penduduk beragama Islam di daerah ini bermula tahun 2022.

Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad berkata perkara itu bakal dikuatkuasakan melalui syarat permohonan atau pembaharuan lesen perniagaan di bawah pentadbiran MPKK.

Menurutnya, perkara itu bakal dikuatkuasakan melalui syarat permohonan atau pembaharuan lesen perniagaan di bawah pentadbiran MPKK.

"MPKK ada kuasa untuk pelesenan yang membolehkan kita meletakkan syarat untuk melarang penjualan minuman memabukkan sama ada bir mahupun arak (liquor).

"Ini akan dibuat di kawasan (penduduk) yang majoriti Muslim untuk menjaga sensitiviti.

"Namun bukan semua kawasan (di Kuala Kangsar) kita akan laksanakan, ia masih dibenarkan namun beberapa syarat dikenakan dan di kawasan majoriti penduduk bukan Islam.

"Tahun 2022 kita akan mulakan untuk kawasan yang memang jelas majoriti penduduknya beragama Islam yang bermakna ia adalah mengikut kepada kes.

"Bermakna, orang (bukan Islam) di komuniti itu yang mahu mendapatkan minuman keras boleh membeli di luar kawasan itu namun minumlah di rumah sahaja supaya tidak menimbulkan gangguan kepada orang awam akibat mabuk dan seumpamanya," katanya.

Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan bergantung kepada undang-undang atau akta di peringkat Persekutuan serta enakmen negeri berkaitan penjualan minuman keras itu.

Zulqarnain berkata perkara itu diputuskan melalui perbincangan dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis MPKK Bilangan 11/2021 yang berlangsung di D' Village Resort, Karai, di sini, semalam.

Zulqarnain berkata lagi, bagi premis yang khas menjual arak, ia adalah di bawah Enakmen Hiburan (Enakmen Hiburan Tempat-Tempat Hiburan 1997) yang bidang kuasanya berada di bawah kawalan Pegawai Daerah.

"Itu adalah 'heavy liquior' (arak dengan tinggi kadar alkohol), yang mana hanya kedai tertentu sahaja ia boleh dibeli. Tetapi untuk kedai serbaneka atau kedai runcit, yang itu barulah kita (MPKK) boleh kawal melalui lesen perniagaan mereka.

"Terbaharu, penguatkuasaan melalui lesen dilaksanakan terhadap sebuah kedai serbaneka di perumahan Taman Puncak Bougainvillea, di sini yang mana bagi memperbaharui lesen perniagaannya mereka tidak dibenarkan lagi menjual arak disebabkan kawasan itu jelas majoriti penduduk beragama Islam," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2021 @ 8:55am
d