mutakhir

Tiada rombakan Kabinet, tumpu usaha bantu rakyat

Oleh Amir Mamat

Durian Tunggal: "Selagi saya tidak umumkan apa-apa (berhubung spekulasi rombakan Kabinet), tidak adalah," kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, beliau enggan melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang didakwa bakal menyaksikan tiga Menteri digugurkan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, beliau menegaskan, tumpuannya kini terarah kepada usaha menangani banjir dan pasca bencana itu, serta langkah membendung penularan Covid-19.

"Saya sekarang fokus isu banjir dan perkara lain (rombakan Kabinet) belum ada apa-apa lagi. Banyak spekulasi (ketika ini), selagi saya tidak buat kenyataan, kita anggap ia spekulasi sajalah.

"Saya nak fokus isu banjir, rakyat tengah susah, lebih baik kita tumpu kepada (usaha) bagaimana nak bantu rakyat yang susah akibat banjir.

"Saya tak nak cakap pun soal ada ke tiada (rombakan) setakat ini, selagi saya tidak umumkan, tak ada lah. Belum sampai masanya (mengumumkan rombakan Kabinet), `let's' (mari) kita fokus kepada banjir," katanya selepas menyampaikan bantuan ihsan banjir kepada mangsa bencana itu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.

Semalam, tular berita mengenai spekulasi tiga Menteri didakwa bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet.

Tiga nama yang dikaitkan dengan spekulasi itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet esok akan membincangkan dua perkara utama membabitkan isu banjir serta masalah Covid-19 yang agak membimbangkan ketika ini.

Beliau berkata, isu banjir yang sedang melanda negara ketika ini akan dibincang secara khusus termasuk usaha menyelesaikan masalah berkenaan selain beberapa lagi perkara berkaitan pasca banjir yang masih belum selesai.

"Dari segi kerosakan infrastruktur, merosakkan rumah serta barangan keperluan penduduk yang terjejas.

"(Sebelum ini) saya dah umumkan macam-macam insentif dan bantuan kerajaan yang lain, tapi tak cukup dengan pengumuman (kerana) yang pentingnya adalah pelaksanaannya.

"Wabak Covid pula, nampak gayanya akan menjadi sebahagian kehidupan kita. Dulu kita kata kita akan (lalui fasa) endemik, anggap macam penyakit lain, tetapi wujud pula varian baru seperti Omicron dan sebagainya.

"Semua itu akan dibincangkan mengenai tindakan kita selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2022 @ 4:27pm
d