mutakhir

Siasat kaitan pengemis jalanan etnik Rohingya dengan sindiket [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis masih mengumpul maklumat sama ada pengemis jalanan yang membabitkan etnik Rohingya terbabit dengan sindiket atau sebaliknya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada sindiket yang terbabit sebagai 'dalang' terhadap etnik Rohingya ini termasuk menggunakan kanak-kanak untuk mengemis di bandar besar.

"Sama ada berkemungkinan wujudnya sindiket atau tidak, saya tidak dapat pastikan sehingga tangkapan atau siasatan selesai dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah antara Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Wan Hassan sebelum ini adalah Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

Beliau memulakan tugasnya hari ini, manakala Kamarul Zaman menjawat jawatan Ketua Polis Johor.

Razarudin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemunculan etnik Rohingya yang meminta sedekah di jalanan.

"Kita akan arahkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan daerah di seluruh negara untuk pantau kegiatan ini (meminta sedekah).

"Tindakan boleh diambil melalui Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Akta Kesalahan Kecil kerana mengganggu dan mengemis di jalanan," katanya.

Razarudin berkata, kebanyakan peminta sedekah jalanan melakukan kegiatan itu bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan terutama di kawasan sesak di lampu isyarat.

Beliau berkata, undang-undang di negara ini bukan saja tertakluk kepada warganegara tetapi boleh juga diambil terhadap warga asing yang melakukan kesalahan jenayah.

Disiarkan pada: January 6, 2022 @ 2:31pm
d