mutakhir

Ubat nyamuk punya hal, bapa saudara parah dipukul

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Hanya disebabkan menegur kerana mengambil ubat nyamuk tanpa kebenaran, lelaki cedera parah di kepala akibat dipukul anak saudaranya menggunakan kayu di Kampung Tempoyak, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada 11.30 malam itu, mangsa berusia 55 tahun sempat berlari ke rumah adiknya berhampiran dalam keadaan berlumuran darah untuk memaklumkan kejadian menimpanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mangsa yang juga duda tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun datang ke rumah mangsa sebelum mengambil sekotak ubat nyamuk tanpa kebenaran.

"Mangsa menegur suspek yang didakwa sering mengambil barangnya tanpa keizinan menyebabkan suspek berang dan terus memukul mangsa di kepala menggunakan sebatang kayu sebelum melarikan diri.

"Mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terus menuju ke rumah adiknya memaklumkan dia dipukul oleh anak saudaranya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek di tepi sungai di kampung yang sama pada 8.45 pagi tadi.

"Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2022 @ 6:18pm
d