mutakhir

SAVE 3.0: Rebat sehingga RM400

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melancarkan Program Sustainability Achieved Efficiency (SAVE) 3.0 yang memberi e-rebat kepada pengguna untuk pembelian barangan elektrik cekap tenaga bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, programSAVE 3.0 ini dibiayai oleh Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).

Ia adalah kesinambungan daripada Program SAVE 1.0 dan SAVE 2.0 dengan penambahan jenis peralatan elektrik cekap tenaga.

Menurutnya, penyediaan insentif e-rebat ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik melalsanakan amalan cekap tenaga sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik.

Katanya, kerajaan menyasarkan penjimatan tenaga sebanyak 153 GigaWattjoule (GWj) bersamaan RM60.45 juta serta mampu mengurangkan pelepasan 103,890 tan karbon dioksida setiap tahun.

"Program SAVE 3.0 berbeza denganProgram SAVE 2.0 yang terhad kepada alat penyaman udara atau peti sejuk dengan nilai rebat sebanyak RM200. Manakala Program SAVE 3.0 menyediakan nilai e-rebat yang boleh ditebus hingga RM400 dengan menawarkan lebih banyak pilihan peralatan elektrik," katanya kepada pemberitapada sidang media Pelancaran E-Rebat Program SAVE 3.0 Untuk Pembelian Peralatan Elektrik Cekap Tenaga di sini, hari ini.

Turut hadir,Ketua Setiausaha KeTSA Datuk Zurina Pawanteh dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) Datuk Hamzah Hussin.

Terdapat dua kategori peralatan di bawah program ini iaitu kategori satu membabitkan peti sejuk dan penyaman udara, manakala kategori dua iaitu televisyen, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi.

Takiyuddin berkata, rebat ini terhad kepada satu akaun sahaja bagi pembelian untuktahun iniberdasarkan kepada 'first come first serve basis'.

Menurutnya, program ini hanya diberikan kepada warganegara Malaysia dan pemilik akaun elektrik tarif domestik berdaftar dengan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Bhd (SEB) dan NUR Power layak memohon.

Katanya, penerima e-rebat bagi Program SAVE 2.0 tidak layak untuk memohon bagi kategori satu Program SAVE 3.0.

"Pembelian boleh diadakan secara fizikal di kedai elektrik dan pasar raya berdaftar termasuk secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf seperti Shopee, Lazada dan PG Mall," katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2022 @ 11:18am
d