mutakhir

Guna sijil vaksinasi palsu, umrah belum tentu mabrur

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Parit Buntar: Perbuatan menipu dengan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 untuk mengerjakan umrah dianggap menzalimi pihak lain sekali gus individu yang melakukannya perlu bertaubat.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, perbuatan sedemikian jika tidak dibendung bakal menjadi budaya yang dapat mencalarkan kredibiliti dan imej agama Islam serta negara.

"Yang pasti, tiada siapa kata boleh menipu. Disebabkan dia (pemalsu sijil vaksinasi) nanti sijil vaksinasi sudah tidak lagi boleh dipercayai.

"Jadi dia akan menzalimi orang yang benar-benar memiliki sijil vaksinasi sah. Dia buka peluang untuk menzalimi pihak lain," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pengisytiharan sempadan kariah dan solat Jumaat Masjid Al-Hidayah di Taman Desa Mekar di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan terdapat jemaah umrah yang dijangkiti varian Omicron tidak menerima sebarang suntikan vaksin dan dibenarkan pergi mengerjakan ibadah itu.

Khairy berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada mereka yang tidak divaksinasi terbabit, adalah disebabkan faktor kesihatan atau memang enggan divaksinasi.

Menurut Zamri lagi, perbuatan menipu sijil vaksinasi bagi mengerjakan umrah turut dikhuatiri menyebabkan ibadah itu tidak tergolong sebagai 'mabrur' (diterima).

"Kalau ikut hukum dan syarat, ibadah itu sah. Namun walaupun sah belum tentu mabrur.

"Kepada yang sudah terlanjur melakukan perbuatan itu, bertaubatlah kepada Allah dan jangan ulang perbuatan seperti itu," katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2022 @ 5:54pm
d