mutakhir

Kempunan makan nasi ganja...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Hulu Selangor: Hajat sekumpulan penunggang motosikal ingin makan nasi ganja di Ipoh, Perak, tidak kesampaian apabila mereka ditahan selepas berlumba di Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, semalam.

Difahamkan, lapan lelaki berusia 18 hingga 25 tahun itu menunggang motosikal dari Kuala Lumpur pada mulanya ingin makan di sebuah restoran di Sungkai, namun mengubah fikiran sebelum menuju ke Ipoh, Perak untuk menikmati nasi ganja.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, bagaimanapun pada 12 tengah hari, pasukan yang membuat pemantauan melihat aksi sekumpulan penunggang motosikal yang bersaing sesama sendiri, menundukkan badan aksi zig zag.

Mereka melakukan aksi berkenaan dari Kilometer (KM) 402 sehingga ke KM 397 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Menurutnya, polis kemudian menahan lima lelaki ketika mereka berhenti sebuah stesen minyak di Hentian Sebelah Tanjung Malim, sementara tiga lagi lelaki ditahan ketika berhenti di bahu jalan di KM 395.5.

"Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga penunggang terbabit mendapati mereka tidak memiliki lesen memandu kelas B2.

"Mereka bersama motosikal kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebanyak 50 saman dikeluarkan ke atas mereka atas pelbagai kesalahan trafik.

Disiarkan pada: January 10, 2022 @ 9:22am
d