mutakhir

UTK bakal miliki pejabat, pusat latihan sendiri [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: Selepas 47 tahun, Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memiliki pejabat dan pusat latihan sendiri yang berteknologi tinggi dan serba moden.

Difahamkan, projek pembangunan di atas tanah seluas 10.11 hektar itu dilaksanakan kontraktor Pertama Makmur Sdn Bhd yang menelan kos mencecah RM157 juta dan dijangka siap pada Mei 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, projek pembangunan UTK pertama itu dilaksanakan bagi menangani kekangan pasukan berkenaan sebelum ini yang terpaksa menjalani latihan di pusat lain.

Beliau berkata, pasukan ditubuhkan sejak 1 Januari 1975 itu sebelum ini ditempatkan di dua blok di Bukit Aman.

"Bagaimanapun, dengan peningkatan perjawatan UTK PDRM seramai 420 orang pegawai dan kakitangan, kedua-dua blok itu tidak lagi dapat menampung jumlah anggota.

"Ketiadaan lokasi spesifik untuk pasukan UTK PDRM menjalankan latihan menyebabkan kebanyakan latihan terpaksa dilaksanakan di lokasi dan premis milik pasukan keselamatan lain," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan UTK di Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Hazani Ghazali.

Selain bangunan pejabat dan pusat latihan UTK, beberapa infrastruktur lain akan dibina adalah Bilik Keselamatan VVIP, laluan bawah tanah, bengkel kenderaan, gudang simpanan kenderaan pasukan, bahagian persenjataan, stor, rumah penyimpanan peluru (Magazine House) dan menara tinjau.

Hamzah turut menyambut baik permintaan Acryl Sani untuk menambah keanggotaan pasukan terbabit sehingga 1,000 pegawai dan anggota bagi memastikan kemampuan UTK kekal unggul sejajar dengan perkembangan teknologi serta keperluan pertahanan semasa.

"IGP (Ketua Polis Negara) sebelum berucap memberitahu saya bahawa ketika ini terdapat kurang 500 anggota dan sepatutnya ada sekurang-kurangnya 1,000 orang.

"Saya sebagai menteri menyokong penuh (permintaan) untuk mendapatkan tambahan anggota. Saya berjanji akan perjuangkan bersama permintaan diunjurkan IGP," katanya.

Sementara itu, Acryl Sani ketika berucap memaklumkan PDRM amat menitikberatkan penyampaian perkhidmatan profesional dan berkualiti termasuk menjaga aspek kebajikan warganya.

Beliau berkata, projek pembinaan kompleks baharu UTK itu jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan pasukan dalam menyediakan prasarana yang kondusif khususnya buat pasukan elit terbabit.

"Insya-Allah, apabila siap kelak sebuah kompleks pentadbiran dan operasi akan tersergam indah di tapak ini, termasuklah Bilik Keselamatan VVIP dengan dilengkapi teknologi canggih terkini.

"Saya difahamkan kompleks ini akan dilengkapi dengan Pusat Latihan untuk para operatif UTK.

"Kemudahan latihan serba moden ini berupaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan operatif UTK dalam apa jua keadaan dan ancaman, selain melahirkan para operatif UTK sebagai 'high value individuals' yang berkemahiran tinggi dalam penugasan masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2022 @ 1:50pm
d