mutakhir

Roti canai percuma untuk penuntut UMP

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Sebanyak 600 roti canai diberi secara percuma kepada penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) sempena program 'Projek Dapur Kita Mahasiswa UMP' yang julung kali diadakan di sini, semalam.

Penuntut UMP kampus Pekan dan Gambang, di sini terdiri daripada penuntut tempatan dan antarabangsa berpeluang merasa roti canai disediakan sukarelawan UMP daripada Skuad Yayasan UMP.

Pengurus projek, Muhammad Hisammudin Abdul Halim berkata, pihaknya mengumpul dana dan seterusnya menyediakan persiapan seperti adunan dan menebar roti canai oleh beberapa individu yang mahir.

Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan malah beberapa penuntut antarabangsa begitu teruja dapat merasa hidangan berkenaan.

"Percubaan pertama program berkenaan dianggap berhasil dan menjadi pengalaman berharga buat sukarelawan apabila berpeluang belajar menebar roti canai.

"Projek terbabit turut menjadi platform kepada orang ramai untuk turut sama berkongsi dalam membantu penuntut," katanya yang sedang belajar di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik.

Beliau berkata, inisiatif 'Projek Dapur Kita' itu dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan penuntut UMP dan pihaknya bercadang untuk meneruskan program pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja'afar menghargai komitmen sukarelawan Skuad Yayasan UMP yang sentiasa memberi sokongan dalam semua program anjuran Yayasan UMP.

"Program ini hasil idea daripada penuntut sendiri yang cakna terhadap kebajikan rakan mereka, selepas ini pelbagai program dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

"Yayasan UMP akan menganjurkan Rusa Virtual Run 2022 dan Jerung Virtual Run 2022 iaitu aktiviti mengumpulkan dana selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat," katanya

Disiarkan pada: January 11, 2022 @ 1:29pm
d