mutakhir

Remaja hilang selepas masuk semak

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Gua Musang: Remaja lelaki dipercayai hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak di Kampung Pasir Linggi, di sini, malam kelmarin.

Mangsa berusia 13 tahun itu dikatakan bermain sepak takraw pada 10 malam bersama rakannya sebelum masuk ke kawasan semak untuk membuang air kecil.

Bagaimanapun, mangsa tidak keluar semula menyebabkan rakannya menyangka dia pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laporan kehilangan remaja itu dibuat oleh ibunya pada 7 malam semalam apabila mangsa masih gagal pulang ke rumah.

Katanya, mangsa sebelum itu dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Pasir Linggi pada 9 malam Isnin lalu.

"Ibunya yang menyedari anaknya belum pulang ke rumah keluar mencari di kawasan sekitar, namun gagal menemui mangsa.

"Pihak kami kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dengan kekuatan 24 anggota penyelamat bermula 8 pagi tadi.

"Kawasan pencarian bermula dalam radius dua kilometer," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, sebaik menerima laporan kehilangan mangsa pada malam semalam, operasi SAR segera digerakkan membabitkan sembilan anggota.

Menurutnya, berikutan keadaan yang gelap, operasi ditangguhkan pada 1 pagi tadi dan disambung semula pada 8 pagi ini.

"Operasi ini turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencari mangsa yang hilang," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 3:04pm
d