mutakhir

Juruteknik ditahan cabul rakan serumah

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Seorang juruteknik ditahan selepas mencabul seorang wanita yang juga rakan serumahnya di Taman Gembira dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun itu ditahan sekitar jam 8 malam di rumah sewa terbabit.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 8 pagi semalam ketika mangsa, wanita berusia 25 tahun berada di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan yang mana suspek turut menyewa bilik di rumah itu.

"Mangsa mendakwa suspek yang hanya bertuala dan tidak berbaju itu mendekati dan memeluk mangsa dari bahagian hadapan.

"Mangsa kemudian menolak dan menepis tangan lelaki itu seterusnya bertindak keluar dari biliknya untuk meminta bantuan sebelum membuat laporan polis," katanya dalam kenyatan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan Seksyen 380, Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek direman tiga hari dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 12, 2022 @ 6:33pm
d