mutakhir

Isu MyUbat akibat kekeliruan pelanggan, pegawai - HKL

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Isu tular di media sosial berhubung perkhidmatan farmasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini, merupakan kekeliruan yang berlaku antara pengadu dan pegawai bertugas.

Pengarah HKL Dr Rohana Johan menjelaskan kekeliruan itu timbul apabila, perkhidmatan MyUbat yang tidak dapat dilaksanakan sebenarnya adalah bagi ubat tertentu, berikutan kekangan stok bekalan yang terhad.

"Bagi melaksanakan aplikasi MyUbat dan penghantaran melalui pos memerlukan pembungkusan dua minggu lebih awal dari tarikh pesakit menerima ubat berkenaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Rohana, bagaimanapun berkata perkhidmatan itu akan dilaksanakan seperti biasa apabila stok bekalan ubat kembali normal.

Beliau berkata pihak HKL pada masa sama sudah mengenal pasti pegawai terbabit dengan isu komunikasi itu serta tindakan sewajarnya bakal diambil bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

"Pihak HKL akan mengambil tindakan untuk penambahbaikan perkhidmatan di semua kaunter perkhidmatan yang disediakan," katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang pesakit berkongsi rasa tidak puas hati berhubung perkhidmatan diberikan ketika berurusan dengan ahli farmasi di HKL.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 9:18am
d