mutakhir

JKNJ insiden tular warga emas menunggu lama di luar PPV

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menyiasat insiden tular mengenai warga emas yang mendakwa berdiri dan menunggu lama di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di pekan Nanas, Pontian, bagi mendapatkan dos penggalak mereka.

Pengarah JKNJ Datuk Dr Aman Rabu berkata, PPV berkenaan dikendalikan pihak swasta, namun perkara itu akan dimaklumkan kepada pengendalinya bagi penambahbaikan.

"JKNJ akan siasat isu yang tular berkenaan dan akan memaklumkan pengendali PPV itu iaitu Protect Health Corporation," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini, tular video di media sosial mengenai orang ramai terutama warga emas yang terpaksa berdiri dan menunggu lama di bawah sinaran matahari sebelum dibenarkan memasuki PPV Taman Sri Sentosa, pekan Nanas, Pontian.

Dalam dua video berdurasi lapan dan 14 saat itu, ada warga emas dilihat terpaksa duduk di atas bahu jalan selain menumpang duduk di tembok hadapan rumah penduduk di situ.

Mereka mendakwa tidak dibenarkan memasuki kawasan dewan PPV kerana didakwa datang awal dan PPV berkenaan masih belum bersedia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Wee Jeck Seng ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai insiden yang tular membabitkan warga emas berdiri lama di PPV Taman Sri Sentosa itu.

Katanya, pihak Parlimen Tanjung Piai sebelum ini ada berbincang dengan pengurusan PPV terbabit bagi mengenal pasti bantuan yang dapat dihulurkan untuk meningkatkan lagi kemudahan di PPV terbabit.

"Parlimen Tanjung Piai akan mengenal pasti bantuan yang diperlukan bagi memastikan insiden yang tular itu tidak berulang. Ini termasuklah membantu menyediakan lebih ramai sukarelawan dan kemudahan seperti kerusi dan khemah di luar.

"Selain itu, orang awam yang mendapat janji temu di PPV terbabit perlu mematuhi masa yang ditetapkan dan tidak hadir terlalu awal," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2022 @ 2:14pm
d