mutakhir

Fakulti Pendidikan UiTM meterai 35 MoU

Shah Alam: Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai 35 perjanjian persefahaman (MoU) bersama industri, institusi, agensi dan komuniti dari dalam dan luar negara di sini, kelmarin.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Jaringan & Inovasi) Fakulti Pendidikan UiTM, Dr Mohd Khairezan Rahmat berkata, perjanjian persefahaman itu meliputi aktiviti serta program berteraskan pendidikan, penyelidikan dan inovasi, perkongsian dalam pembangunan sumber manusia, profesional dan rundingan, pembangunan dan kebolehpasaran penuntut, akses kepada rangkaian global, serta tanggungjawab sosial korporat dan kemasyarakatan.

Katanya, kerjasama itu selari dengan visi UiTM untuk menjadi universiti terkenal antarabangsa atau 'Globally Renowned University' (GRU2025)' melalui Perancangan Strategik UiTM 2025.

"Jalinan hubungan dengan industri, agensi dan komuniti menjadi salah satu agenda utama dalam memastikan kelangsungan sesebuah universiti.

"Malah, kerjasama pintar di antara universiti bersama industri, agensi dan masyarakat dalam menambah nilai, memperkaya dan mengukuhkan jaringan serta keterlibatan yang produktif, sistematik dan lestari merentasi pendidikan, penyelidikan dan inovasi, pembangunan bakat, rangkaian professional dan global serta khidmat komuniti," katanya.

Majlis menandatangani dan penyerahan MoU itu disempurnakan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Roziah Mohd Janor.

Antara rakan strategik yang terbabit termasuk Little Caliphs International Sdn Bhd, Restu International College, Majlis Rekabentuk Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, Pocket Production Group Sdn Bhd, Abeeden Academy Sdn Bhd, Arus Academy, Persatuan Wanita UiTM, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Buku Jalanan Chow Kit, Proquaz Sdn Bhd, Football Talent Asia, SPOL Asia Sdn Bhd, iLMOO by Motivato Media Network, Sri Urkeed Holdings Sdn Bhd dan Pertubuhan Komuniti Artport Malaysia.

Selain itu, Fakulti Pendidikan UiTM turut bekerjasama dengan beberapa universiti antarabangsa antaranya Ohio University, Amerika Syarikat; Ewha Woman University, Korea Selatan; Lourdes College, Filipina; Hengshui University, China; Tamil Nadu Teachers Education University, India; Universitas Pendidikan Indonesia, Universitas Negeri Jakarta, Universitas Wirajaya, Universitas Negeri Malang, Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia dan Bule Hora University, Ethiopia, Afrika.

Mohd Khairezan berkata, terbaharu, Fakulti Pendidikan UiTM akan memeterai MoU bersama Kelab Badminton Rashid Sidek (KBRS) dan Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia. Katanya, majlis simbolik menandatangani MoU bersama KBRS akan disempurnakan oleh legenda badminton negara Datuk Abdul Rashid Sidek selaku pemilik KBRS, manakala MoU bersama UNNES dilaksanakan bagi menjayakan geran penyelidikan padanan di antara kedua-dua universiti.

Disiarkan pada: January 14, 2022 @ 10:52am
d