mutakhir

Ketua Pengarah JKSM tunggu nasihat peguam berkaitan gesaan direhatkan

Oleh Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, beliau dalam proses mendapatkan nasihat peguam berhubung gesaan supaya beliau direhatkan sehingga siasatan berkaitannya selesai.

Semalam, Presiden PPSM Ibrahim Deris mencadangkan Mohd Na'im direhatkan bagi memudahkan siasatan dan bagi memelihara imej institusi Kehakiman Syariah.

"Saya akan minta nasihat peguam-peguam saya dahulu," katanya.

Mohd Na'im berkata, terdapat dua kenyataan bercanggah yang dikeluarkan Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PPSM) semalam.

Mohd Na'ím turut mempersoalkan pendekatan berbeza dicadangkan Ibrahim, berikutan isu hampir sama pernah terjadi kepada mantan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang pada 2017.

"Boleh tanya presiden (Ibrahim) kenapa dia ambil pendekatan berbeza dahulu bila babitkan sahabat baik beliau (mantan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang) ketika itu," katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PPSM Muhammad Yusro Borhan Nordin menafikan kenyataan akhbar dikeluarkan presidennya itu dibuat secara kolektif, kerana ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

Muhammad Yusro berkata, pegawai syariah di seluruh negara memberikan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap apa-apa tuduhan berkaitan.

Baru-baru ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Lokman Noor Adam, memuat naik video mendakwa Mohd Naím terbabit dalam kes gangguan seksual membabitkan seorang wanita.

tamat

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 3:55pm
d