mutakhir

Kinta Riverwalk tak akan jadi 'gajah putih' [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kerajaan Perak memberi jaminan pembangunan baharu produk pelancongan utama negeri Kinta Riverwalk di Bandaraya Ipoh kali ini tidak menjadi projek 'gajah putih.'

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ini kerana pengendalian pembangunan baharu kawasan itu kali ini diserahkan kepada hanya satu agensi iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berbanding beberapa pihak sebelum ini.

"Kita mengharapkan dengan strategi satu agensi mengawalselia pembangunan terbabit ia akan membawa kepada pembangunan lebih bersepadu," katanya kepada sidang media selepas menyempurnakan Pra Pelancaran pembukaan semula Kinta Riverwalk di sini, malam tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Nolee Ashilin berkata, pihak MBI juga dapat memastikan produk dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

"Kita baru membuat pembukaan fasa pertama dan fasa kedua juga sudah siap, jadi apabila fasa ketiga selesai nanti kita akan lihat semula bagaimana untuk merancakkan lagi keseluruhan kawasan," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan pembangunan baharu kawasan itu, Nolee Ashilin berkata, pembukaan Kinta Riverwalk dijangka dapat meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke Ipoh dan secara tidak langsung akan melahirkan peluang perniagaan baru serta menjana ekonomi peniaga sediada.

"Pembangunan Kinta Riverwalk adalah kesinambungan Ipoh Heritage Trail yang dibangunkan sebelum ini bagi mewujudkan tarikan pelancongan di pusat bandar raya atau lebih tepat lagi dikenali Segitiga Pelancongan Bandaraya Ipoh.

"Pembangunan ini akan menjadi pelengkap kepada perancangan Kawasan Pelancongan Pekan Lama seperti digariskan di dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan Ipoh Walkable City serta Rancangan Tempatan Ipoh 2035," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pelbagai isu Covid-19 pihaknya mengharapkan industri pelancongan negeri dapat dipulihkan dalam suku pertama tahun ini.

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 10:38am
d