mutakhir

Harga ayam masih kekal

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Harga ayam masih kekal pada kadar biasa meskipun peniaga berdepan dengan masalah kekurangan bekalan dan ketiadaan bekalan import bagi bahan mentah itu.

Peniaga ayam, Badrul Hisham Saad, 50-an, berkata, dia menjual ayam pada harga borong antara RM8.50 hingga RM8.80 sekilogram, manakala bagi harga runcit antara RM9 hingga RM9.50 setiap kilogram.

"Sudah lima bulan saya jual ayam mengikut skala harga itu. Masalah kekurangan bekalan ayam bukan perkara baru kerana ia dialami sejak beberapa bulan lalu.

"Sepanjang tempoh itu, saya mengalami kemerosotan jumlah jualan harian kerana tiada bekalan.

"Jika dulu saya menjual beribu-ribu ekor ayam sehari, namun kini saya hanya menjual 200 ayam sehari meskipun mendapat bekalan dari lima hingga enam pembekal," katanya ketika ditemui di Pasar Harian Selayang, di sini, hari ini.

Badrul Hisham berkata, ketika ini, satu pembekal hanya dapat memberikan bekalan satu tong dianggarkan mempunyai 50 hingga 60 ayam setiap hari.

Menurutnya, kebiasaannya pada musim cuti atau hujung minggu, peniaga banyak menerima tempahan ayam untuk majlis kahwin dan lain-lain acara.

"Namun saya tidak berani menerima tempahan itu kerana bimbang tidak cukup bekalan.

"Saya difahamkan oleh pembekal bahawa ayam diperoleh dari peladang di Pulau Pinang, Perak dan beberapa negeri lain. Buat masa ini, pembekal tidak menyatakan mereka mendapat bekalan ayam import," katanya.

Peniaga ayam, Hassan Hashim, 42, harga ayam masih kekal dijual mengikut harga ditetapkan pihak berkuasa sejak bulan lalu kerana ia dikawal susulan sambutan perayaan.

"Dari Disember tahun lalu, saya jual ayam RM9 bagi setiap kilogram memandangkan harga kawalan ditetapkan adalah RM9.30.

"Saya mendapatkan bekalan daripada dua pembekal di sekitar Lembah Klang dengan bekalan 150 ayam sehari. Di pasar ini, kebanyakan ayam yang dijual adalah tempatan kerana orang ramai lebih suka ayam 'segar' berbanding sejuk beku (import).

"Namun pada hujung minggu, agak sukar saya mendapatkan lebih banyak bekalan kerana pembekal hanya dapat menyediakan kira-kira 100 ayam sahaja kerana bekalan tidak mencukupi," katanya.

Tinjauan di Pasar Harian Selayang mendapati ayam dijual pada harga antara RM8.50 hingga RM9 bagi setiap kilogram.

Pada 1 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan berikutan harga ayam naik mendadak di pasaran sejak November tahun lalu.

Susulan pengumuman itu, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula Disember 2021 sehingga Februari 2022.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 2:42pm
d