mutakhir

Laki bini 'kerja' jual pil kuda

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Seorang penjawat awam wanita dan suaminya diberkas polis selepas disyaki terbabit `kerja sampingan' menjual dadah kepada penagih.

Pasangan itu bagaimanapun ditahan polis bersama sejumlah dadah dalam serbuan di kediaman mereka di Pulau Gadong, di sini, jam 12.50 tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, wanita ditahan berusia 29 tahun itu bekerja sebagai penjawat awam manakala suaminya adalah buruh binaan.

"Hasil serbuan, polis menemui dan merampas dadah disyaki syabu seberat kira-kira 42 gram dan empat biji pil disyaki yaba yang kesemuanya bernilai lebih RM4,200.

"Siasatan dijalankan juga mendapati dadah itu untuk pasaran tempatan dan suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak sebulan lalu," katanya.

Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah Methamphetamine.

"Semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau juga membabitkan kesalahan dadah.

"Bagaimanapun suspek wanita didapati negatif dan kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, bermula 1 hingga 16 Januari tahun ini seramai empat penjawat awam ditahan di negeri ini selepas disyaki terbabit dengan dadah.

"Kesemua tangkapan itu membabitkan nilai rampasan membabitkan nilai lebih RM8,300," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 4:27pm
d