mutakhir

Penduduk mula kosongkan kediaman [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Penduduk Kampung Kebun Baru, di sini, yang terjejas ekoran masalah pencemaran udara susulan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung memberi kerjasama yang baik apabila mengosongkan kediaman mereka selepas diminta berbuat demikian.

Tinjauan wartawan di kampung berkenaan mendapati terdapat penduduk yang sudah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka dan segelintir daripada menumpang di rumah saudara mara terdekat.

Ketika tinjauan dilakukan juga, wartawan mendapati terdapat segelintir penduduk sedang berkemas untuk bersiap sedia keluar dari rumah mereka buat sementara waktu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kebun Baru, Nur Syakila Abdullah, 48, berkata dia bersama jenteranya sudah berada di kampung itu sejak jam 6.40 pagi tadi bagi membantu penduduk berpindah dan memberi nasihat kepada mereka yang enggan keluar untuk segera mengosongkan kediaman berikutan keadaan kandungan udara yang berbahaya.

"Semalam penghulu kampung dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah turun di kampung ini menerangkan keadaan yang berlaku dan meminta penduduk berpindah buat sementara kerana keadaan tidak sesuai dan berbahaya terhadap kesihatan.

"Secara keseluruhannya terdapat 36 rumah di kampung ini terdiri daripada 18 keluarga dengan membabitkan 115 individu. Mereka semua memberi kerjasama baik dengan menumpang sementara di rumah saudara mara terdekat dan ada yang akan ke PPS.

"Kita juga sedang berusaha memujuk lagi penduduk yang masih enggan berpindah dan berharap semua dapat mengosongkan kediaman selewat-lewatnya malam ini," katanya.

Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu lalu dan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini.

Anggaran keluasan yang terbabit dengan kebakaran adalah 6.5 hektar dan tindakan awal sudah diambil oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan membuat 'fire break' bagi mengelak api terus merebak.

Susulan daripada kebakaran itu, JAS Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara dan mengesan kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah kemudian dibuka bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dekat situ sehingga keadaan pulih.

Mengulas lanjut, Nur Syakila berkata, tapak pelupusan sampah itu beberapa kali terbakar sebelum ini namun ia tidak serius sehingga penduduk terpaksa berpindah.

"Seingat saya ada tiga hingga empat kali kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah ini tetapi ia tidak serius. Kali ini sangat serius hingga kualiti udara pula berada pada tahap tidak baik dan boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar," katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2022 @ 4:35pm
d