mutakhir

Pahang sasar 8 juta pelancong tahun ini [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan Pahang menyasarkan kira-kira lapan juta pelancong, pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata. anggaran kehadiran pelancong tempatan itu berdasarkan pembukaan sektor pelancongan.

Katanya, walaupun masih ada beberapa lokasi pelancongan ditutup kesan daripada penularan wabak Covid-19 dan banjir yang melanda bulan lalu, ia diharap kembali pulih.

"Berdasarkan statistik 2020, sebanyak tujuh juta pelancong datang ke Pahang walaupun berlaku penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ketika itu masih boleh merentas daerah dan negeri.

"Bagaimanapun, tahun lalu, kira-kira satu juta pelancong berkunjung ke Pahang kerana pelaksanaan PKP yang panjang dan darurat yang menyebabkan industri pelancongan tutup.

"Oleh itu, tahun ini, kita harap Kerajaan Persekutuan benar-benar mengawal keadaan untuk memastikan penularan wabak itu tidak merebak.

"Jika merebak, bukan sahaja industri pelancongan malah industri lain turut menerima kesan," katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran This is Pahang 2022 - Unlimited di sini, malam tadi.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengulas pelancaran tema This is Pahang 2022 – Unlimited, Mohd Sharkar berkata, unlimited atau tiada had itu membawa maksud bahawa Pahang bertuah mempunyai kepelbagaian produk dari tanah tinggi ke hutan belantara, pantai dan pulau, selain warganya yang sentiasa mesra dan ramah.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 9:19am
d