mutakhir

Misteri banglo 'keras' atas bukit [METROTV]

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Jadikan banglo sunyi disewa di atas bukit sebagai `markas' menyembunyikan pelbagai jenis mercun dan minuman keras.

Kegiatan jenayah khusus untuk jualan Tahun Baru Cina itu bagaimanapun dibongkar polis susulan serbuan dilakukan di Jalan Bukit Cina di sini, jam 7 petang, Jumaat lalu.

Hasil serbuan itu, polis Melaka menahan tiga lelaki tempatan dan merampas pelbagai mercun dipercayai tanpa permit dan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM150,000.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, hasil serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka itu, polis berjaya memberkas suspek berusia antara 27 dan 29 tahun.

"Siasatan awal mendapati banglo berkenaan disewa untuk dijadikan stor dan aktiviti jualan mercun dan minuman keras. Kumpulan suspek dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.

"Modus operandi mereka adalah mempromosikan jualan mercun dan minuman keras berkenaan melalui media sosial seperti Facebook dengan menyertakan senarai katalog jenis mercun," katanya semalam.

Beliau berkata, mercun dan minuman keras terbabit disasarkan jualan dalam pasaran tempatan sempena Tahun Baharu Cina dan bekalan dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan berlesen selain dibeli secara kurier dari China.

Katanya dua daripada suspek berkenaan masing-masing didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu memiliki video lucah dan menggaji pekerja asing secara tidak sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957.

"Polis juga sedang mengesan suspek utama aktiviti jualan mercun dan minuman keras berkenaan dikenali Soh Wei Huang, 28, yang beralamat terakhir di No 111, Jalan Puteri Hang Li Poh, 75100, Melaka bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 12:41pm
d