mutakhir

7 Pati hilang, bot pancung karam [METROTV]

Oleh Togi Marzuki

Pontian: Tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) hilang selepas bot pancung dinaiki karam dibadai ombak besar di perairan Pontian, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, enam Pati diselamatkan manakala tujuh lagi masih hilang di lokasi kira-kira tiga batu nautika dari pantai Pontian Besar.

Mangsa yang selamat membabitkan dua lelaki dan empat wanita manakala mangsa yang hilang membabitkan tujuh wanita.

Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) susulan kejadian bot karam itu.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima aduan mengenai penemuan enam warga Indonesia yang diselamatkan bot nelayan tempatan.

"Berdasarkan maklumat awal mangsa terselamat, bot dinaiki membawa kira-kira 13 penumpang termasuk tekong karam dipukul ombak kuat semasa memasuki perairan Malaysia dan tujuh mangsa hilang di laut.

"Op Carilamat diaktifkan jam 10.20 pagi dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Persatuan Nelayan Pontian.

"Sebuah pesawat AW139 dan bot Kilat 12 milik APMM diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan mencari mangsa.

"APMM turut mendapatkan bantuan aset daripada agensi sahabat bagi membantu Op Carilamat ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua enam mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 12:48pm
d