mutakhir

Tiada bukti pelanggaran akta dalam isu saham Azam Baki

Oleh Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak dapat membuktikan wujud pelanggaran pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, SC membuat kesimpulan berkenaan menerusi siasatannya berdasarkan bukti yang dikumpulkan.

"SC tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berlaku," katanya dalam maklum balas mengenai siasatan SC terhadap akaun dagangan Azam di bawah seksyen berkenaan.

SC berkata, sebagai pengawal selia pasaran modal, bidang kuasa kawal selia mereka ditetapkan mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan SICDA.

"Dalam hal ini, siasatan itu berkaitan dengan isu sama ada potensi pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Depositori Pusat Sekuriti 1991 (SICDA) berlaku.

"Seksyen 25(4) SICDA pula memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama yang berfaedah pemilik atau penama yang diberi kuasa," katanya.

SC pada 6 Januari lalu meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Azam memberi penjelasan dan mengesahkan kenyataan dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Mengikut Seksyen 25 SICDA, semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Sementara itu, Azam ketika dihubungi BH untuk mengulas mengenai perkara itu berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan selepas merujuk kepada peguamnya terlebih dahulu.

Terdahulu, dalam satu sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang, Azam dipetik berkata, akaun saham beliau digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Menurutnya, saham-saham yang dibelinya adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Disiarkan pada: January 18, 2022 @ 4:43pm
d