mutakhir

10 orang terbabit penipuan dalam talian ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sindiket penipuan dalam talian berjaya ditumpaskan hasil penahanan 10 individu di sebuah premis di Jalan Ampang di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju membuat serbuan di premis itu dan menahan seorang wanita dan enam lelaki warga China berusia 22 hingga 35 tahun.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk sebuah komputer riba dan 17 unit telefon bimbit yang digunakan dalam kegiatan itu.

"Susulan itu, polis kemudiannya menyerbu satu lagi premis dan menahan seorang wanita tempatan dan dua lelaki warga China berusia 22 hingga 35 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, dalam serbuan kedua itu turut dirampas enam unit telefon bimbit dan salinan dokumen tertulis skrip yang digunakan untuk panggilan telefon.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua tangkapan adalah pekerja sindiket penipuan itu dan kedua kumpulan terbabit beroperasi sejak pertengahan 2020," katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemuanya ditahan reman dari kelmarin sehingga 21 Januari ini untuk siasatan lanjut.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dan membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera tampil menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan kes penipuan seperti itu," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2022 @ 3:10pm
d