mutakhir

Kecoh Ahli Parlimen didakwa tiada di kawasan ketika banjir [METROTV]

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Sesi penerangan mengenai isu banjir melanda Selangor bulan lalu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat, hari ini, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan ada sebahagian wakil rakyat dikesan tidak berada di kawasannya ketika bah melanda.

Kekecohan tercetus selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mempertikaikan dakwaan Ismail Sabri itu, menyebabkan sesi penerangan oleh Perdana Menteri yang menyentuh mengenai bencana banjir negara bulan lalu, terganggu.

"Polis cari, Ahli Parlimen Shah Alam hilang, dikatakan tiada dalam radar. Tapi kalau ada.. baguslah," sindir Perdana Menteri, memaksa Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) kemudian bangun mempertikaikan dakwaan itu, menyebabkan dewan mula kecoh.

Kemudian, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bangun mempersoalkan kenyataan Ismail Sabri itu, sebaliknya mendakwa, ketika Perdana Menteri turun melawat mangsa banjir di Selangor pun, Ahli Parlimen khususnya pembangkang langsung tidak dijemput.

"Banjir ini hal kecemasan, jadi saya turun tidak bagitahu Ahli-Ahli Parlimen. Tiada jemputan dikeluarkan," kata Ismail Sabri ketika menjawab persoalan dikemuka Gobind itu, memaksa beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain bangun mempertikaikan penjelasan balas itu.

"Kita tidak mahu majlis 'blame game', majlis (mesyuarat khas) cari penyelesaian, itu yang kita hendak," celah Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), diikuti Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kemudiannya bangun mencelah meminta Perdana Menteri supaya tidak menyindir mana-mana Ahli Parlimen.

Terdahulu pada sesi penerangannya, Ismail Sabri berkata, banjir di Selangor adalah suatu kejadian luar jangka dan kelemahan dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan Kerajaan Pusat terpaksa campur tangan.

Beliau berkata, umum mengetahui pada tempoh sama, terdapat beberapa negeri lain turut dilanda banjir, namun disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah di negeri lain teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.

"Perlu saya tekankan di sini, banjir di Selangor adalah suatu kejadian luar jangka dan berikutan kelemahan dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan," katanya ketika memberikan penerangan mengenai situasi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pada peringkat awal banjir melanda beberapa kawasan di Selangor, agensi penyelamat menghadapi kesukaran mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah segera, biarpun pasukan menyelamat sudah digerakkan lebih awal bagi memindahkan mangsa.

Katanya, kebanyakan mangsa memberikan alasan hendak menyelamatkan harta benda, jarak pusat pemindahan sementara (PPS) jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan Covid-19 di PPS.

Disiarkan pada: January 20, 2022 @ 1:18pm
d