mutakhir

Kelantan kesan tiga lagi kluster pendidikan baharu [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tiga lagi kluster membabitkan institusi pendidikan direkodkan di Kelantan semalam, menjadikan keseluruhan tujuh kluster dengan 209 kes positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tiga kluster itu adalah Kluster Jalan Kompleks di Kota Bharu, Kluster Jalan Bukit Merbau, Pasir Puteh dan Kluster Lorong Banggol Manok, Pasir Mas.

Katanya, Kluster Jalan Kompleks merekodkan 13 kes, sementara masing-masing sembilan kes bagi Kluster Jalan Bukit Merbau dan Kluster Lorong Banggol Manok yang menjadikan jumlah kumulatif 209 kes.

"Kluster pendidikan ini membabitkan pelajar asrama dan juga pelajar yang tinggal di rumah, namun keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, terdapat 21 kes positif baharu bagi Kluster Embi Telipot yang membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, sekali gus menjadikan keseluruhan 127 kes.

Katanya, pertambahan kes positif turut dilapor bagi Kluster Pulau Melaka dan Kluster Padang Raja di Kota Bharu serta Kluster Jalan Bandar Chiku di Gua Musang.

"Untuk memastikan kluster ini tidak menular, petugas kesihatan dengan kerjasama pihak sekolah sentiasa membuat pemantauan di sekolah yang terbabit.

"Kita juga mohon kepada pelajar dan ibu bapa supaya memberi kerjasama termasuk melakukan ujian saringan Covid-19 jika bergejala bagi membendung penularan.

"Jika pelajar tidak sihat, kita berharap mereka tidak hadir ke sekolah dan memaklumkan segera kepada guru," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 12:45pm
d