mutakhir

Projek Mata Hatiku sasar jualan RM500,000 [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Cacat penglihatan tidak menghalang mereka untuk beraksi lincah di pentas peragaan dalam mempromosikan tudung direka khas bagi Projek Mata Hatiku.

Seramai 20 wanita dengan sebahagian daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU) penglihatan menggayakan tudung bawal dan selendang bermotifkan flora fauna yang akan dijual kepada orang ramai.

Projek berkenaan dilaksanakan bertujuan mengumpul dana tabung pendidikan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) OKU Penglihatan sempena ulang tahun ke-70 persatuan itu.

Naib Presiden MAB, Datin Fauziah Mohd Ramly berkata, projek dengan kerjasama Six Sense Creative itu mensasarkan jualan RM500,000 dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, hasil jualan itu akan digunakan bagi membantu golongan OKU penglihatan yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

aaa

"Kami akan mengadakan siri jerayawara (roadshow) ke seluruh negara bagi mempromosikan dan menjual tudung berkenaan.

"Kami amat berharap agensi dan syarikat korporat akan menyokong usaha berkenaan selain komitmen daripada pelbagai pihak lain," katanya ketika berucap merasmikan Projek Mata Hatiku Tabung Pendidikan MAB OKU Penglihatan di Kompleks MAB di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Fatimah Zuraidah Salleh.

Sementara itu, Fatimah berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta JKM mengalu-alukan program kolaborasi berkenaan sebagai inisiatif membangunkan golongan OKU.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan terbabit menerusi pelbagai insentif dan sokongan yang diberikan termasuk dalam Bajet 2022.

"Saya berharap projek ini menjadi kayu ukur dan contoh kepada syarikat korporat lain.

"Kita amat menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat kepada golongan OKU," katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 1:57pm
d