mutakhir

Ikrar Malaysia kepada dunia, misi selamatkan harimau

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Jumlah populasi harimau di seluruh dunia kini didapati merosot ketara kepada kurang 4,000 ekor.

Malah pakar menjangkakan Harimau Malaya bakal pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang jika tiada tindakan proaktif dilakukan bagi menyelamatkan spesis terancam itu.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya selaku tuan rumah Persidangan Menteri-Menteri Asia Ke-4 (AMC4) mengenai Pemuliharaan Harimau secara maya di sini, tadi.

Ia adalah persidangan terkini berkaitan harimau selepas Sidang Kemuncak Harimau Global Pertama diadakan 12 tahun lalu di Russia.

Dalam ucapannya beliau memaklumkan, Malaysia bercadang untuk mengguna pakai Kenyataan Bersama Kuala Lumpur mengenai Pemuliharaan Harimau bagi memulih dan meningkatkan populasi harimau ke dalam habitat berpotensi di Asia Tenggara.

Beliau berkata, kenyataan bersama 13 perkara itu akan menyokong pelaksanaan usaha Pelan Tindakan Pemulihan Harimau Asia Tenggara (STRAP) berdasarkan keutamaan dipersetujui.

"Penerimagunaan Kenyataan Bersama Kuala Lumpur, STRAP dan Strategi Mobilisasi Sumber akan menyediakan negara-negara yang mempunyai harimau berkeliaran bebas untuk menetapkan sasaran tindakan yang realistik dalam usaha mereka untuk mencapai matlamat pemulihan," katanya.

Beliau turut menyeru negara-negara mempunyai harimau untuk bekerjasama dalam semangat 'keluarga dunia' bagi menyelamatkan spesies haiwan berkenaan tanpa mengira sempadan geografi, budaya mahupun politik.

Beliau berkata, tahun 2022 yang dianggap Tahun Harimau (mengikut kalender Cina) diharap mampu membawa tenaga baharu yang berani, yakin serta semangat positif.

"Bagaimanapun amat dukacita apabila nasib dan masa depan haiwan ini kian samar susulan perbuatan manusia antaranya pemburuan haram, perdagangan haram hidupan liar, penerokaan guna tanah dan sebagainya.

"Malah populasi harimau dunia merosot kepada 4,000 ekor. Angka kritikal ini termasuklah Harimau Malaya di Malaysia.

"Berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan bermula tahun 2016 hingga 2020, kurang daripada 150 ekor Harimau Malaya masih berada di negara ini," katanya.

Menurutnya, pakar meramalkan Harimau Malaya akan lenyap dalam masa lima hingga 10 tahun jika tindakan strategik tidak dilaksanakan dengan segera.

"Oleh itu, Harimau Malaya diberikan tahap perlindungan tertinggi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam 2008," katanya.

Ternyata langkah serius kerajaan bagi menyelamatkan spesis harimau belang dibuktikan apabila Perdana Menteri turut mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya atau National Tiger Conservation Task Force (MyTTF) bagi membincangkan tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya awal Januari lalu.

Dalam mesyuarat ini, MyTTF bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun (2021 hingga 2030) melalui enam pendekatan.

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 6:54pm
d