mutakhir

Ganja bernilai RM4.4 juta dirampas di sempadan [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Kelibat dua lelaki yang keluar masuk ke negara ini melalui kawasan semak berhampiran Stesen Keretapi Padang Besar, Perlis, malam tadi, membongkarkan penemuan 88 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM4.4 juta yang diseludup masuk dari negara jiran.

Bagaimanapun, cubaan dua lelaki berkenaan gagal apabila Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak yang menjalankan tugas menerusi Op Wawasan Kedah/Perlis berjaya merampas ganja berkenaan.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Noh Khamis berkata, dalam serbuan jam 9 malam itu, anggota Batalion 18 ternampak kelibat dua lelaki keluar masuk dari kawasan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggotanya bersembunyi untuk melihat kegiatan suspek pada jarak kira-kira 10 meter untuk mengelak dikesan.

"Kita dapati mereka keluar masuk dari negara jiran dengan membawa bungkusan hitam.

"Namun selepas mendapati tiada sesiapa mengambil barangan berkenaan hampir 30 minit, anggota kita terus melakukan pemeriksaan dan menemui tujuh bungkusan plastik hitam.

"Kawasan itu memang menjadi port penyeludupan barangan terlarang dan pada mulanya anggota kami menyangka bungkusan itu daun ketum namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati ia mengandungi 88 kg ketulan ganja mampat," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Utara PGA, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion 18, Superintendan Ramli Wan Salin.

Noh berkata, kawasan itu berpagar kawad duri, semak dan dekat dengan stesen kereta api menyebabkan anggotanya sukar melakukan tangkapan serta-merta.

Beliau berkata, pihaknya percaya berkemungkinan besar akan ada lagi cubaan membawa masuk dadah dari negara jiran dan pihaknya akan melakukan kawalan lebih ketat di sempadan negara.

"Nilai keseluruhan ganja yang dirampas adalah sebanyak RM4.4 juta yang mana setiap satu kilogram bernilai RM50,000.

"Kawalan di sempadan akan diperketatkan lagi serta penggunaan unit dron untuk pemantauan lebih meluas bagi mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan," katanya.

Noh berkata, sekiranya ganja itu terlepas, ia boleh digunakan lebih 400,000 penagih di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang Batalion 18 mengambil alih tugas menjaga Op Wawasan Kedah/Perlis bermula 1 Januari hingga semalam, sebanyak 44 kes direkodkan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, seramai 44 individu ditahan dan 16 daripadanya warga tempatan, 11 warga Thailand manakala 17 warga Myanmar.

"Daripada jumlah 44 kes itu, ia membabitkan rampasan ketum sebanyak 15,435 kg, tujuh motosikal, dua van, arak pelbagai jenama serta barangan makanan yang tidak menepati syarat perlabelan.

"Jumlah keseluruhan rampasan bernilai lebih RM5 juta untuk semua kes berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2022 @ 5:05pm
d