mutakhir

Pas beri jaminan sertai PRN Johor [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pas akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya diadakan nanti.

Jaminan itu diberikan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan namun memaklumkan pihaknya belum memuktamadkan bagaimana bentuk penyertaan dalam PRN itu nanti sebaliknya hanya membincangkan daripada segi persiapan jentera.

Menurutnya, berkata, sebagai parti yang dianggap senior, Pas sentiasa menyertai mana-mana pilihan raya sama ada PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) walau sedikit kerusi yang diletakkan.

"Saya memberi jaminan bahawa Pas akan menyertai PRN ini, bentuk macam mana itu belum kita muktamadkan walau kita sudah bincangkan di peringkat Pas dan Perikatan Nasional (PN).

"Pas akan menyertai walau masih terlalu awal untuk nyatakan bentuk penyertaan namun kita akan menyertai dalam apa keadaan sekalipun," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memberi sagu hati kepada 10 penghulu tanpa mukim yang terdiri daripada kaum Tionghua yang akan menyambut Tahun Baharu Cina di pusat khidmatnya di sini, hari ini.

Mengenai kerjasama dengan parti lain, Takiyuddin berkata, Pas sedia berunding dan berbincang dengan semua parti terutama yang mempunyai kerjasama termasuk Umno (Muafakat Nasional).

Menurutnya, secara asasnya, Pas sebuah parti yang mengutamakan penyatuan ummah dan konsep itu turut diterapkan dalam PRN Melaka baru-baru ini namun keputusan tidak seperti yang diharapkan.

Takiyuddin berkata, keputusan terbaik dari segi penyatuan itu adalah penting demi membawa kebaikan kepada semua.

Disiarkan pada: January 22, 2022 @ 7:06pm
d