mutakhir

Umno ambil kesempatan dalam kesempitan - PH Johor

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Pakatan Harapan (PH) Johor tetap dengan pendirian bahawa pada ketika ini sebenarnya bukan masa yang sesuai untuk pilihan raya.

Menerusi kenyataan bersama itu, pembangkang berkata, tindakan mencetuskan PRN oleh Umno sebagai helah untuk ambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

"Saat virus covid, Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya yang sedang kita hadapi.

"Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri sudah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

"Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?" katanya.

Dalam kenyataan itu, PH yakin perkara itu adalah kerisauan dan hasrat rakyat biasa, pada ketika ini.

"Bahkan pelaksanaan pilihan raya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.

"Malangnya, Umno tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar," katanya.

Menurutnya lagi, ini adalah pilihan raya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

"Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini," katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 10:20am
d