mutakhir

3 'port' dadah diserbu, 41 ditahan

Oleh Ahmad Hasbi

Tampin: Seramai 41 penagih dadah bersama tokan ditahan dalam serbuan polis di tiga kawasan Felda di Tampin dan Gemas dalam Ops Tapis Khas serta Ops Sarang, Jumaat dan Sabtu lalu.

Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin juga merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6,400.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, operasi berkenaan menumpukan pada 'port' atau sarang penagihan dadah di daerah Tampin terutamanya di kawasan Felda.

"Pemeriksaan di sekitar Tampin dan Felda Bukit Jalur berjaya menahan sembilan penagih dan merampas 4 gram dadah jenis heroin dan 4 gram syabu.

"Serbuan yang dijalankan di port dadah di kawasan Felda Sungai Kelamah, Gemas pula berjaya menahan seramai 13 penagih bersama tokan yang terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

"Dadah yang dirampas adalah dadah jenis Heroin seberat 60 gram serta dadah jenis Syabu seberat 7 gram. Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM3,500," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, serbuan seterusnya di kawasan Felda Jelai 4, Gemas, menahan 19 lelaki berusia 27 hingga 65 tahun.

"Dadah yang dirampas adalah dadah jenis Heroin seberat 35 gram dan dadah jenis Syabu seberat 6 gram. Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM2,300," katanya.

"Seramai 12 penagih akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 memandangkan mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Kesemua suspek direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 10:30am
d