mutakhir

Industri perabot, usahawan Bumiputera jauh ketinggalan [METROTV]

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Perabot kayu adalah komponen terpenting dalam industri perkayuan apabila menyumbang nilai eksport RM10.6 bilion pada tahun 2020 dan berjaya dieksport ke lebih 160 negara di dunia.

Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi (KPKK), Datuk Sri Wee Jeck Seng berkata, antara negara yang merupakan pasaran utama perabot Malaysia termasuklah Amerika Syarikat, Jepun, China, Australia dan Singapura.

Katanya, walaupun pada masa kini eksport produk perkayuan dan perabot negara dilihat agak membanggakan di pasaran dunia, namun sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan masih ketinggalan dan rendah.

Menurutnya, ia berikutan kebanyakan mereka ini adalah usahawan bersaiz kecil dan mikro serta tidak memberi tumpuan kepada pasaran eksport.

"KPPK melalui agensinya Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), menjalankan pelbagai program ke arah memastikan bahawa agenda Bumiputera dapat terus diperkasa melalui program-program yang sedang dilaksanakan sepanjang tahun 2022 bermula dari RMKe-10 sehingga RMKe-12.

"Usahawan-usahawan Bumiputera yang layak dipilih dan diberi pinjaman mesin berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka supaya dapat bersaing dengan lebih kompetitif dalam pasaran," katanya pada perasmian taklimat insentif MTIB untuk usahawan Bumiputera dan prosedur pendaftaran dan import eksport produk kayu di bandaraya Melaka di sini, tadi.

Jelasnya, program juga membantu meningkatkan tahap keupayaan pengeluaran Bumiputera dari segi kadar pengeluaran, tahap produktiviti dan kualiti produk yang dihasilkan.

Disiarkan pada: January 23, 2022 @ 4:31pm
d