mutakhir

Baru kematian ibu, kini hilang suami buat selamanya [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris dan Nor Amalina Alias

Kota Bharu: "Belum habis meratap pilu atas pemergian arwah ibu minggu lalu, sekali lagi saya diuji apabila suami dijemput Ilahi dalam nahas jalan raya malam tadi," kata Wan Norsalasiah Wan Noh.

Wan Norsalasiah, 40, berkata dia bagai tidak percaya apabila suaminya, Mohd Rozimi Daud, 40, maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu berhampiran Bukit Abal, Pasir Puteh, dekat sini.

Menurutnya, ini kerana dia masih bersedih dengan pemergian ibunya, Jabariah Mahamood, 70, yang genap seminggu, hari ini.

Katanya, dia masih terngiang-ngiang suara arwah memintanya supaya menunggu kepulangannya, malam semalam sebelum keluar rumah di Taman Tengku Ahmad Rithaudeen, Melor untuk membaiki kereta.

"Suami keluar rumah kira-kira 5.30 petang semalam untuk membaiki tayar kereta saya dan saya berkali-kali meminta untuk mengikutnya, tetapi tidak benarkan sebelum memujuk agar menunggu dia pulang malam tadi.

"Bagaimanapun, penantian kami berakhir dengan kesedihan kerana bukan dia yang pulang sebaliknya khabar duka mengenai kemalangan yang mengorbankan nyawanya diterima," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 7.45 malam tadi, Mohd Rozimi memandu kereta Proton Preve bersama rakannya dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku pertembungan.

Sambil menyifatkan arwah adalah seorang suami dan bapa yang sangat baik serta bertanggungjawab, Wan Norsalasiah berkata, suaminya turut menjaga ibu mentua ketika hayat kerana menganggapnya sebagai ibu sendiri.

Menurutnya, kehilangan Mohd Rozimi amat ketara dirasai kerana enam anak mereka berusia 16 bulan sehingga 14 tahun sangat rapat dengan arwah.

"Memang rasa berat sangat dugaan ini kerana sepanjang 15 tahun hidup bersama, semua tanggungjawab digalasnya dengan baik termasuk menjaga dan menguruskan anak-anak serta tidak membebankan saya dengan kerja rumah yang banyak.

"Suami juga sedang membina rumah untuk kami yang kini baharu seminggu kerja pembinaan berjalan, namun segalanya tidak kesampaian dan saya buntu untuk meneruskan hidup tanpanya," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato' Megat Muda, di sini, bersebelahan pusara arwah ibu mentuanya, pagi tadi.

Wan Norsalasiah berkata, suaminya ada menunjukkan perubahan ketika ingin keluar bekerja pagi semalam apabila tidak mencium dahi dan pipinya seperti kelaziman.

Katanya, anak bongsunya juga seharian meragam, semalam dan kerap menangis tanpa menyedari ia adalah tanda mereka bakal menerima khabar duka.

"Selepas bersalam pagi semalam, dia tidak mencium pipi serta dahi saya seperti biasa lalu bertanya adakah saya ada melakukan kesilapan atau terdapat sesuatu yang tidak kena?

"Dia hanya menjawab tidak, sebelum tersenyum dan terus mencium pipi serta dahi dan keluar bekerja. Saya reda dengan pemergiannya walau berat untuk diterima," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, kemalangan berlaku ketika Mohd Rozimi bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

"Sampai di lokasi kemalangan, tiba-tiba sebuah lori datang dari arah bertentangan, gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan kereta menyebabkan berlaku perlanggaran secara hadapan.

"Akibat itu, Mohd Rozimi meninggal dunia di tempat kejadian apabila cedera parah di kepala, manakala rakannya berusia 45 tahn hanya cedera ringan di pinggang," katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 24, 2022 @ 4:25pm
d