mutakhir

KEDA lancar Pelan Strategik [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited menjayakan lima fokus strategik yang disenaraikan dalam Pelan Strategik KEDA 2021-2025 bagi memperkasakan pembangunan penduduk luar bandar.

Pengerusinya, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, pelan itu memberi tumpuan kepada kumpulan sasar seperti usahawan desa dan golongan miskin tegar seiring dengan hasrat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang kini di bawah kepimpinan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Fokus strategik pertama kami adalah memperkasa pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam luar bandar yang lengkap dan berkualiti dalam wilayah KEDA, fokus strategik kedua adalah membangunkan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik.

"Ketiga adalah memantapkan pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar, keempat pula memperkasakan usahawan KEDA luar bandar dan akhir sekali adalah memantapkan keupayaan kapasiti organisasi," katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 selain turut melancarkan Pelan Strategik KEDA 2021-2025 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.

Ku Abd Rahman berkata, pelaksanaan pelan strategik itu turut memberi tumpuan kepada petani, penternak, usahawan desa, institusi kepimpinan masyarakat, institusi koperasi serta wanita, belia, kanak-kanak dan pelajar.

Katanya, selain lima fokus strategik, Pelan Strategik KEDA turut merangkumi 20 strategi, 72 program dan 111 sasaran.

"Saya menaruh harapan tinggi supaya pelan strategik menjadi kitab tambahan KEDA dan tidak dibiarkan usang tanpa sebarang penelitian warga kerjanya.

"Walaupun kita masih berada dalam pandemik Covid-19, saya yakin kami mampu lakukan untuk membantu meringankan beban golongan sasar yang turut terjejas akibat virus ini," katanya.

Beliau turut yakin, projek pembangunan antaranya membabitkan jalan, kemudahan awam dan rekreasi akan terus diperhebatkan seiring dengan dasar membandarkan luar bandar.

Disiarkan pada: January 26, 2022 @ 11:08am
d