mutakhir

Mosar bantu bawa turun pendaki wanita alami hipotermia [METROTV]

Oleh Juwan Riduan

Ranau: Cuaca sejuk tidak menghalang Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) untuk membawa turun pendaki wanita yang mengalami kekejangan otot dan kesejukan melampau (hipotermia) ketika menuruni Gunung Kinabalu, hari ini.

Mangsa berusia 40 tahun dibawa turun dari Sick Bay Panalaban ke Timpohon Gate.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung situasi mangsa pada 4.18 pagi.

Katanya, sepasukan Mosar kemudian bergegas ke lokasi untuk memberi rawatan awal dan bantuan oksigen sehingga suhu badannya normal.

"Seterusnya mangsa diusung menggunakan 'robinson stretcher' ke Timpohon Gate," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Ranau kemudian membawa mangsa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

Katanya, operasi itu tamat pada 4.05 petang.

Disiarkan pada: January 26, 2022 @ 7:22pm
d