mutakhir

Pantau 25 laluan utama kerap kemalangan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Polis Kelantan memantau 25 laluan utama di seluruh negeri ini yang dikesan kerap berlaku kemalangan jalan raya dalam penugasan Op Selamat 17/2022.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, seramai 266 pegawai dan anggota ditugaskan dalam operasi bermula esok hingga 6 Februari dengan empat lokasi panas diberi perhatian.

"Empat laluan itu adalah tiga sempadan utama negeri iaitu Pasir Puteh, Gua Musang, Jeli dan pusat bandar (Kota Bharu) yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina untuk membeli-belah.

"Penugasan bukan sahaja dijalankan oleh anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kelantan tapi juga Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)," katanya pada sidang media selepas pelancaran Op Selamat 17/2022 di Tunjong di sini, hari ini.

Shafien berkata, pihaknya menganggarkan antara 700,000 hingga 800,000 kenderaan mulai masuk ke Kelantan bermula hari ini dan menekankan pendekatan mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan.

Katanya lagi, berdasarkan statistik tahun lalu, jumlah kemalangan adalah sebanyak 498 berbanding 495 pada tahun 2019 dan kemalangan maut juga meningkat daripada 11 kepada 17 kes dalam tempoh yang sama.

"Enam kesalahan utama yang dikesan kerap dilakukan adalah memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar serta memotong barisan," katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Superintendan Shuhaimi Jusoh.

Selain penugasan trafik, Shafien berkata, penugasan sempena Op Selamat itu juga untuk mencegah kes pecah rumah yang sering berlaku pada musim perayaan.

Dengan mengekalkan slogan 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', Shafien berkata, keselamatan kediaman masyarakat akan terus diberi keutamaan dengan kerap mengadakan rondaan di kawasan yang sudah dikenal pasti.

"Kita mengatur gerak sumber manusia bagi menangani persepsi masyarakat yang menganggap tiada kelibat polis atau tiada perbezaan antara penugasan Op Selamat dengan hari biasa," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2022 @ 2:59pm
d