mutakhir

Dua individu curi motosikal ustaz [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Seorang guru sekolah rendah agama di sini, bagaikan tidak percaya apabila mendapati motosikal miliknya dicuri pasangan suami isteri ketika kenderaan itu diletakkan di perkarangan surau di Puncak Alam di sini.

Mangsa, Azri Rozlan, 27, berkata, dia menyedari motosikal Honda EX5 milik ayah mentuanya hilang di parkir garaj surau itu pada jam 11.10 pagi, semalam.

"Menjadi kebiasaan saya meletakkan motosikal di garaj surau berkenaan. Kebetulan tempat saya mengajar hanya bersebelahan garaj berkenaan.

"Saya menyedari motosikal itu hilang semasa mahu pergi ke tandas," katanya ketika dihubungi tadi.

Azri berkata, dia menghubungi pihak pengurusan surau terbabit untuk melihat video rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Dalam video itu, saya terkejut melihat dua individu dipercayai pasangan suami isteri melarikan motosikal saya.

"Motosikal itu adalah pemberian bapa mentua saya pada tahun 2019. Kebetulan dia tidak menunggangnya lagi disebabkan mempunyai motosikal lain.

"Saya jaga motosikal itu dengan penuh perhatian. Tidak sangka ia hilang dicuri," katanya.

Azri berkata, dia berharap motosikal Honda EX5 itu ditemui semula berikutan ia mempunyai nilai sentimental tidak ternilai.

Menurutnya, dua laporan sudah dibuat di Balai Polis Saujana Utama pada jam 11.30 pagi semalam diikuti laporan polis kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada 12.30 tengah hari.

"Harap si pelaku segera ditahan supaya kejadian sama tidak berlaku kepada orang lain," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2022 @ 8:48pm
d