mutakhir

Sindiket edar rokok tak bercukai tumpas

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Lelaki ditahan manakala mercun, rokok dan kenderaan bernilai lebih RM700,000 dirampas Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, 6.50 petang semalam.

Menurut Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang, suspek, 39, ditahan di Jalan Ahad Kampung Ungku Mohsin ketika memandu kenderaan pelbagai guna.

"Pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan tersebut menemui pelbagai jenis mercun dan rokok.

"Seterusnya, pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan tersebut dan menjumpai beberapa karton rokok pelbagai jenama tiada cukai kastam yang disembunyikan dalam sebuah kontena kecil.

"Suspek dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai runcit di sekitar kawasan Johor Bahru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, anggaran nilai rokok ialah RM257,344 manakala anggaran nilai cukai adalah RM 408,752.

Sementara itu, rampasan mercun dianggar bernilai RM12,400 dan anggaran nilai kenderaan yang dirampas adalah RM48,000, katanya.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan ini memutuskan rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Johor Bahru.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan untuk tindakan Ianjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207)," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2022 @ 11:48am
d