mutakhir

KD Rencong ditauliahkan di Armada Timur [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mentauliahkan Kapal Misi Persisir (LMS) keempatnya iaitu Kapal Diraja (KD) Rencong di Pangkalan TLDM, Sepanggar, hari ini.

Upacara pentauliahan LMS KD Rencong disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang turut memakaikan insignia pemerintahan kepada Pegawai Memerintah Pertama KD Rencong kepada Komander Khairuddin Ahmad@Hassan.

Mohd Reza berkata, KD Rencong adalah sebuah daripada empat LMS yang diperoleh menerusi program transformasi TLDM 15 to 5.

"Dengan kehadiran LMS KD Rencong yang berpangkalan di Kota Kinabalu, saya yakin ia akan meninggkatkan lagi keupayaan Armada Timur bersama kapal LMS yang lain iaitu KD Keris, KD Sundang dan KD Badik," katanya kepada pemberita selepas majlis pentauliahan itu, di sini.

Sementara itu, TLDM dalam kenyataan media sempena majlis itu memaklumkan KD Rencong mula dibina pada 19 September 2019 di Wuhan, China sebelum belayar ke Malaysia sejauh 1,811 batu nautika pada 21 Disember tahun lalu dan tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 28 Disember lalu.

KD Rencong mempunyai kelajuan sehingga 22 knot, sepanjang 68 meter (m), lebar 9.20 m dan mampu melaksanakan operasi untuk tempoh 15 hari tanpa ulang bekal.

Dalam pada itu, Mohd Reza berkata, kesemua empat LMS kumpulan pertama sudah diterima oleh kerajaan dan TLDM juga bercadang untuk mendapatkan lagi LMS kumpulan kedua bagi meningkatkan lagi aset TLDM.

"Kita jangkakan LMS 'batch' kedua akan dapat direalisasikan pada tahun ini atau tahun depan, kita sedang usahakan ke arah itu...dari mana, buatan mana, kita belum tahu lagi, tetapi itulah perancangannya," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2022 @ 1:29pm
d