mutakhir

Jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir RM6.1 bilion

Oleh Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Jumlah kerugian keseluruhan akibat bencana banjir di 11 negeri mencecah RM6.1 bilion, bersamaan dengan 0.40 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Ketua Perangkawan Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah kerugian tertinggi direkodkan bagi tempat kediaman iaitu RM1.6 bilion dengan Selangor merekodkan jumlah kerugian terbesar iaitu RM1 bilion.

Ia diikuti dengan kenderaan iaitu RM1.0 bilion, pembuatan (RM900 juta), premis perniagaan (RM500 juta), pertanian (RM90.6 juta) dan aset awam serta infrastruktur sebanyak RM2 bilion.

"Daripada segi tempat kediaman, Selangor mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM1 bilion diikuti Pahang dengan RM425.5 juta dan Melaka berjumlah RM69.7 juta," katanya pada kenyataan Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021 hari ini.

Mohd Uzir berkata, di Selangor, daerah tertinggi yang mencatatkan kerugian bagi tempat kediaman adalah Petaling dengan RM258.0 juta diikuti Hulu Langat dengan RM253.6 juta dan Klang iaitu RM252.8 juta.

Sementara itu, di Pahang, Kuantan mencatatkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman iaitu RM197.4 juta disusuli Temerloh dengan RM95.1 juta dan Bentong dengan RM60 juta.

Di Melaka, kediaman di Melaka Tengah paling teruk terjejas dengan kerugian direkodkan ialah RM60.8 juta diikuti Alor Gajah iaitu RM6.9 juta dan Jasin dengan RM2 juta.

Hasil laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) menerusi survei khas pada 30 Disember 2021 hingga 27 Januari lalu itu turut mendedahkan kerugian bagi kerosakan kenderaan susulan bencana terbabit.

"Tiga negeri mencatatkan kerugian tertinggi adalah Selangor dengan RM855 juta, Pahang, RM78.2 juta dan Negeri Sembilan iaitu RM18.2 juta.

"Daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di Selangor adalah Petaling dengan RM328.3 juta, diikuti Klang dengan RM276.9 juta dan Hulu Langat iaitu RM155.5 juta.

"Sementara itu, Temerloh di Pahang mencatatkan kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM44.8 juta diikuti Kuantan RM23.8 juta dan Bentong dengan RM4.2 juta," katanya.

Di Negeri Sembilan, Jelebu merekodkan kerugian tertinggi membabitkan kenderaan iaitu RM5.2 juta diikuti Port Dickson (RM4.6 juta) dan RM3.7 juta di Seremban.

Kata beliau, Selangor turut merekodkan kerugian tertinggi bagi dua lagi sektor iaitu pembuatan iaitu RM884.5 juta selain premis perniagaan iaitu RM396.4 juta.

Sebelas negeri yang direkodkan terkesan susulan banjir ialah Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, kajian itu bertujuan menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir yang melanda negara pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini yang meliputi nilai kerosakan di tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan serta perindustrian.

DOSM menggunakan data yang diperoleh daripada pelbagai agensi seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

TAMAT

Disiarkan pada: January 28, 2022 @ 2:56pm
d