mutakhir

Video dua kumpulan gaduh guna Samurai tular

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Satu rakaman video memaparkan pergaduhan dua kumpulan lelaki dipercayai menggunakan pedang Samurai tular di media sosial, hari ini.

Video berdurasi kira-kira 30 saat itu menunjukkan dua kumpulan membabitkan lebih 10 lelaki bergaduh dengan tumbuk-menumbuk antara satu sama lain.

Malah, turut kelihatan ada di antara mereka yang menggunakan senjata iaitu parang panjang dipercayai Samurai sehingga ada yang bertindak melarikan diri.

Kejadian dipercayai dirakam dari tingkat satu sebuah bangunan komersial di Kubota Square, di sini, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Menerusi rakaman awal video itu, pergaduhan tercetus apabila dua individu kelihatan 'berperang mulut' sebelum salah seorang daripada mereka secara tiba-tiba melepaskan tumbukan.

Keadaan bertukar ganas apabila kumpulan lelaki terbabit dilihat menetak serta melibas parang selain membelasah antara satu sama lain sehingga berlarutan ke premis berhampiran.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan motif atau punca pergaduhan terbabit berlaku.

Video pergaduhan itu mula dimuat naik di beberapa akaun Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meminta pihak polis mengesan kumpulan samseng terbabit untuk diambil tindakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian.

"Setakat ini, belum ada individu atau pihak yang bertanggungjawab tampil membuat laporan polis," katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2022 @ 4:11pm
d