mutakhir

Jenazah empat beranak selamat dikebumikan [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dekat Bentong, semalam, selamat dikebumikan, hari ini.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa pada 9.50 pagi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran suami, Mohd Nazri Hamid, 44, ahli keluarga dan saudara mara.

Terdahulu, jenazah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7; dan Ahda Imtinan, 5, tiba pada 8.30 pagi.

Mereka kemudian disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin, di sini, diimamkan oleh Mohd Nazri.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, keempat-empat mangsa meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 2 Jalan Lebu ke Mempaga.

Mereka dalam perjalanan dari Gua Musang untuk menghadiri kenduri kahwin di Kuala Lumpur.

Raihan dan tiga anaknya meninggal dunia manakala suami Raihan, Mohd Nazri dan pemandu pacuan empat roda cedera.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: January 29, 2022 @ 10:50am
d