mutakhir

Ibu bapa terus bantah penutupan SK Assumption [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Ibu bapa kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di Jalan Bagan Dalam di sini, sekali lagi membuat bantahan selepas tidak dapat menerima keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mahu menutup operasi sekolah itu pada hujung bulan ini.

Terdahulu, lebih 30 individu berhimpun di hadapan sekolah berusia 90 tahun itu pagi tadi dengan memegang beberapa sepanduk untuk menyatakan bantahan terhadap keputusan berkenaan.

Jurucakap Pasukan Petugas Bersama 'Save Assumption School', Vernon Fernandez berkata, pihaknya mahu KPM menarik semula arahan penutupan sekolah dan meluluskan pembentukan lembaga pengelola sekolah.

"KPM juga digesa mengadakan rundingan terus dengan pemilik tanah dan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik demi SK Assumption

"Selain itu, KPM perlu berpegang pada suratnya yang bertarikh 5 September 2013 dan 22 Oktober 2018, iaitu kementerian tiada niat untuk menutup sekolah ini," katanya yang turut menyertai bantahan berkenaan.

Jelas Vernon, pihaknya sebelum itu menulis empat pucuk surat kepada KPM bagi mencari penyelesaian namun tidak menerima maklum balas.

Sementara itu, bapa murid tahun satu sekolah itu, Shahrezan Sickandar, 42, berkata, rugi jika sekolah yang mengetengahkan ramai tokoh serta bakat besar negara dalam pelbagai bidang itu ditutup.

"Nilai warisan yang ada pada sekolah ini menjadikan SK Assumption sebagai sebuah sekolah yang unik. Kami harap ada jalan penyelesaian terbaik yang dapat dicapai dalam hal ini," katanya.

Pada 24 Januari lalu, KPM pada kenyataan memaklumkan bahawa murid dan guru SK Assumption bakal disuraikan ke sekolah lain berhampiran dengannya.

Keputusan itu dibuat berikutan bangunan dan tapak sekolah itu adalah milik syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.

Bagaimanapun, mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, KPM sudah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022 pada Mac 2022.

Media sebelum itu melaporkan, sekolah berkenaan bakal ditutup pada 28 Februari ini berikutan lesen sekolah akan dibatalkan kerana pemilik tanah persendirian (Sri Avenue Sdn Bhd) meminta tanah dan bangunan dikembalikan.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam mesyuarat yang diadakan awal bulan lalu.

Disiarkan pada: February 2, 2022 @ 2:42pm
d