mutakhir

Permohonan tinggi punca kelewatan Bantuan Selangor Bangkit [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Proses penyaluran Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bagi daerah Klang dan Petaling mengalami kelewatan berikutan permohonan tinggi daripada mangsa banjir di dua daerah berkenaan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mengesan terdapat pertindihan permohonan daripada ahli keluarga selain Ketua Isi Rumah (KIR), justeru beberapa saringan terpaksa dilakukan sebelum bantuan disalurkan.

"Terlebih dahulu, saya ingin menyatakan maaf atas beberapa kelewatan yang berlaku berikutan permohonan yang tinggi diterima di daerah Klang dan Petaling serta permohonan lebih dari sekali dari ahli keluarga. Secara keseluruhan kita sudah menerima 109,000 permohonan yang memerlukan peruntukan berjumlah RM109 juta bagi insiatif BSB.

"Untuk mengelakkan pertindihan ini serta memastikan kesaksamaan dan keadilan bantuan ini kepada mangsa yang terkesan, pejabat Daerah dalam peringkat akhir menyelesaikan pemutihan data dan pemberian BSB bagi daerah Petaling akan selesai InsyaAllah akhir minggu hadapan," katanya pada sidang media khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat peningkatan permohonan sebanyak 30,000 diterima di daerah Klang yang mana sehingga kini, seramai 1,000 pemohon disalurkan BSB setiap hari dan proses mempercepatkan serta mengganda bantuan sehingga ke 3,000 penerima sehari akan dilaksanakan bermula minggu hadapan.

"Pemberian BSB akan diusahakan secepat mungkin dan disalurkan selewat-lewatnya akhir bulan Februari 2022," katanya.

Amirudin memaklumkan, sehingga kini sejumlah 55,425 keluarga yang terbabit banjir sudah menerima BSB RM1,000 manakala 13 keluarga yang kehilangan ahli keluarga tersayang (akibat banjir) sudah menerima RM10,000 setiap keluarga.

"Berdasarkan maklumat, terdapat 19 waris yang kehilangan ahli keluarga akibat banjir baru-baru ini layak menerima bantuan RM10,000 dan kita sedang mengesan enam lagi keluarga untuk disalurkan bantuan.

"Secara keseluruhan jumlah keseluruhan yang disalurkan kepada mangsa yang terkesan banjir adalah sehingga kini adalah sebanyak RM55.555 juta," katanya.

Sementara itu, pada sidang berkenaan Amirudin memaklumkan kerja pembersihan pasca-banjir sudah siap sepenuhnya kecuali Taman Sri Muda yang mana KDEB Waste sedang menyegerakan proses ini yang dibantu gotong-royong komuniti secara besar-besaran pada 6 Februari ini.

"Untuk pemulihan infrastruktur pula, 14 kerja pemulihan infrastruktur sudah bermula secara berperingkat di tujuh daerah dan kesemua kerja ini yang melibatkan pembinaan ataupun pemulihan jalan, jambatan dan pembersihan melibatkan peruntukan RM31.7 juta.

"Kerajaan negeri juga akan melaksanakan program Bantuan Pakaian Sekolah Selangor 2022 dalam masa terdekat yang akan memanfaatkan 40,000 pelajar Selangor yang mana setiap pelajar akan diberikan bantuan pakaian lengkap persekolahan bernilai RM100," katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 4:27pm
d