mutakhir

Rupa-rupanya terjun sungai sebab mahu sejukkan diri

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Tindakan lelaki terjun ke sungai dari Jambatan Jertih arah Bandar Jertih menghala ke Seberang Jertih, Besut, di sini, tengah hari semalam dipercayai kerana mahu menyejukkan badannya.

Ini berikutan lelaki itu mendakwa badannya berasa amat panas lalu mengambil tindakan terjun ke sungai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, keadaan lelaki itu selamat apabila dia pulang ke rumah, tetapi memberitahu mengalami kesakitan pada badan.

Menurutnya, isteri mangsa bersama anaknya datang ke Balai Polis Jertih pada 9.30 pagi tadi memaklumkan bahawa individu yang terjun dari Jambatan Seberang Jertih itu adalah suaminya.

Katanya, wanita itu memaklumkan dia terlihat hantaran di Facebook mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain ciri-ciri mangsa menepati pakaian yang dipakai oleh suaminya pada hari kejadian.

"Isterinya memaklumkan suaminya pulang ke rumah dan memberitahu tubuhnya sakit kerana terjun ke Sungai Jertih lalu dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

"Suaminya juga memberitahu doktor mengalami sakit pada tubuh kerana jatuh dari tempat tinggi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azrol berkata, sepasukan anggota polis turut pergi ke rumah mangsa untuk siasatan lanjut pada 10.30 pagi tadi.

"Hasil soal siasat, lelaki itu mengatakan dia berasa hawa panas memasuki tubuhnya melalui tangan lalu naik ke kepala pada setiap jam dan semakin panas pada waktu tengah hari.

"Lelaki itu kemudian mengambil keputusan untuk terjun dari jambatan terbabit kerana tidak tahan dengan kepanasan yang dialami," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mengesahkan lelaki itu adalah individu yang terjun ke sungai dari Jambatan Jertih berdasarkan pengecaman pakaian daripada keterangan saksi.

"Operasi SAR yang bermula petang semalam ditamatkan pada 12 tengah hari tadi," katanya.

Semalam, media melaporkan saksi melihat seorang lelaki disyaki terjun dari jambatan berkenaan menerusi cermin sisi kenderaannya pada 1.30 tengah hari.

Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 4:54pm
d