mutakhir

Individu terbabit pergaduhan di Medan Renong sudah beri keterangan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Enam lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama di sini, sudah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, untuk memberi keterangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan mengenai insiden terbabit daripada lelaki berusia 36 tahun.

Katanya, didapati berlaku perselisihan faham membabitkan pengadu dengan lima lelaki di kompleks makanan itu sehingga mencetuskan perbalahan.

"Dua daripada mereka adalah adik lelaki kepada pengadu manakala tiga lagi adalah sepupunya.

"Ketika pergaduhan kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan berebut pelanggan selain dendam lama antara kedua-dua belah pihak.

Katanya, akibat pergaduhan berkenaan, kesemua lelaki tempatan itu mengalami luka ringan dan calar di bahagian badan.

"Kesemuanya sudah tampil menyerah diri di IPD Timur Laut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata.

"Orang ramai yang berada di tempat kejadian diminta tampil atau menghubungi IPD Timur Laut bagi membantu siasatan.

"Selain itu, jangan membuat spekulasi dan menyebarkan rakaman video di mana-mana medium media sosial," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pergaduhan di Medan Renong hanya salah faham [METROTV]
  • Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 5:07pm
    d