mutakhir

Beli banyak punca telur ayam kurang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pembelian panik selain sambutan Tahun Baharu Cina dipercayai antara punca bekalan telur ayam berkurangan di pasaran sekitar Lembah Klang.

Pekerja kedai pembekal telur ayam, Mohammad Salam, 29, berkata, kebanyakan pembeli mendapatkan telur ayam dengan kuantiti yang banyak sejak dua minggu lalu berbanding kebiasaan.

"Bekalan masih ada tapi sekarang ini cepat habis mungkin disebabkan orang ramai datang membeli dengan kuantiti yang banyak.

"Kami ambil telur ayam pelbagai gred melalui pembekal dari ladang ternakan ayam di Melaka kerana kedai kami menjual secara borong. Telur ayam segar akan dihantar tiga kali seminggu, jadi kami tidak berdepan masalah bekalan terputus.

"Ada juga peniaga runcit yang datang beli telur ayam beritahu mereka susah dapat bekalan disebabkan pemborong tidak menghantar bekalan ke kedai mereka," katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati sepapan atau 30 biji telur ayam pelbagai gred dijual pada harga antara RM11 sehingga RM13.50.

Tinjauan di sebuah pasar raya dan kedai runcit di bandar raya juga mendapati masih ada dijual telur ayam tetapi hanya tinggal beberapa papan.

Pembeli telur ayam, Nik Rohayati Mat Isa, 50, memberitahu dia tidak ada masalah untuk membeli telur ayam kerana mendapatkannya daripada pemborong di Wangsa Maju.

"Biasanya saya akan beli tiga papan telur untuk kegunaan keluarga. Setakat ini, saya dapati telur ayam masih banyak dan senang diperolehi," katanya.

Terdahulu, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Azman Adam dilaporkan berkata, permintaan mendadak terhadap barangan terkawal seperti ayam mentah, telur ayam dan minyak masak menyebabkan penawaran terhadap barangan berkenaan tidak mencukupi di pasaran, khususnya sempena Tahun Baharu Cina.

Berdasarkan pemantauan penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNHEP yang dijalankan hampir setiap hari di seluruh negara dapati ada aduan daripada orang ramai di negeri tertentu berhubung kekurangan bekalan barangan tertentu.

Menurutnya, menjelang Tahun Baharu Cina, banyak sektor perniagaan terutama sektor peruncitan dibuka menyebabkan berlakunya permintaan mendadak terhadap barangan berkenaan.

Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 5:47pm
d