mutakhir

Pemandu 'lalok' dituduh atas kesalahan bunuh

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Bentong: Lelaki positif dadah yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer (KM) 2 Jalan Lebu berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) di sini, 28 Januari, dituduh di Mahkamah Majistret Bentong, 9 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

"Kertas siasatan kes itu diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong 9 pagi esok (hari ini).

"Atas arahan Timbalan Pendakwa Raya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh empat individu (dalam kemalangan itu)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan suspek direman untuk siasatan lanjut selepas selesai menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh.

Zaiham dipetik berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kenderaan dinaiki suspek yang mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah menemui satu tiub straw lut sinar mengandungi syabu.

Untuk rekod, kemalangan berlaku 2.30 petang 28 Januari itu mengorbankan Raihan Mohamad, 43, seorang suri rumah dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, hasrat satu keluarga yang mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila empat daripadanya termasuk tiga kanak-kanak maut selepas kenderaan mereka dirempuh dengan pacuan empat roda.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki keluarga dari Gua Musang itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum dirempuh pacuan empat roda Nissan Navara dipandu suspek.

Berita berkaitan

Suami dengar isteri sebut 'Allahuakbar' sebelum dirempuh [METROTV]

Jenazah empat beranak selamat dikebumikan [METROTV]

4 sekeluarga ke majlis perkahwinan maut dirempuh pemandu 'lalok'

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 12:25am
d