mutakhir

Peniaga sanggup dapat untung sedikit demi pelanggan [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Harga ayam kembali stabil apabila dijual pada harga ditetapkan kerajaan walaupun berdepan masalah kekurangan bekalan sejak lebih tiga bulan lalu.

Tinjauan di Pasar Siti Khadijah dan Pasar Wakaf Che Yeh, di sini, mendapati peniaga menjual ayam pada harga antara RM8.50 hingga RM8.90 bagi setiap kilogram (kg).

Peniaga Mohd Amri Amran, 35, berkata dia menjual ayam pada harga RM8.50 sekilogram sejak dua minggu lalu demi menjaga pelanggan walaupun memperoleh keuntungan kecil.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya 'mencatu' bekalan ayam daripada tiga pemborong setiap hari yang diterima pada harga antara RM7.90 hingga RM8.30 sekilogram.

"Kebanyakan pemborong mengehadkan bekalan ayam dan saya hanya menjual 150 ekor ayam dalam sehari untuk keperluan pelanggan," katanya ketika ditemui di Pasar Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

Peniaga lain Azman Yusof, 53, berkata dia mengambil sehingga 300 ekor ayam sehari daripada empat tempat pemprosesan ayam di sekitar Kota Bharu.

"Saya terpaksa berbuat demikian disebabkan sudah tiga bulan mengalami kekurangan bekalan ayam, sedangkan permintaan terhadap ayam semakin meningkat terutama peniaga restoran.

"Sebagai peniaga, saya juga berasa tertekan kerana perlu berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam.

"Namun, saya tidak boleh menjangkakan naik turun ayam kerana ia bergantung kepada bekalan dan harga yang diperoleh daripada pemborong atau pembekal," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 kepada RM8.90.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pelaksanaan harga itu bermula hari ini sehingga 5 Jun depan.

Disiarkan pada: February 5, 2022 @ 2:37pm
d